Khamis, 13 Ogos 2009

faktar kebauan badan

Badan berbau menjadi punca individu hilang keyakinan diri untuk bergaul dengan rakan sepejabat dan teman. Hakikatnya ramai yang tidak tahu bahawa badan berbau yang dialami individu berkait rapat dengan pengurusan dan penjagaan diri.

Berikut adalah antara faktor badan berbau:

Peluh

Dua jenis kelenjar peluh luar (eccrine) dan juga kelenjar peluh dalam (apocrine) yang bertindak dengan bakteria di celahan dan lipatan tubuh menghasilkan bau yang kurang disenangi. Bahan yang dikeluarkan daripada dua kelenjar ini akan bertindak balas dengan bakteria dan menghasilkan bau meloyakan.

Diet

Makanan menjadi penyumbang kepada perubahan hormon dan penghasilan bau badan yang tidak menyenangkan. Makanan yang berbau agak kuat seperti bawang dan jenis makanan berempah akan mengeluarkan bau busuk daripada liang roma terutama di celahan ketiak dan belakang badan.

Cara penjagaan diri

Alasan utama mengapa masalah bau badan terjadi disebabkan kegagalan seseorang menguruskan diri dengan baik. Bagi individu aktif dan terdedah dengan aktiviti luar, mereka disaran melakukan mandian sempurna termasuk tidak mengabaikan kawasan terlindung pada tubuh bagi mengelak bau yang tidak menyenangkan.

Masalah kesihatan

Masalah kesihatan dalaman juga dikenal pasti penyumbang kepada penghasilan bau yang tidak menyenangkan. Biasanya ia berlaku kepada individu yang mengalami penyakit diabetes. Pengambilan ubat-ubatan perangsang hormon juga boleh menjadi punca badan berbau. Dapatkan pemeriksaan kesihatan sekiranya mengalami masalah bau badan yang tidak dapat dikesan puncanya.

Pakaian

Pakaian juga menjadi penyebab kepada pembiakan bakteria pada sekitar tubuh. Pakaian yang tidak dibasuh dengan sempurna atau yang dipakai berulang tanpa mencucinya terlebih dulu menyebabkan bau hapak melekat pada tubuh. Bagi individu yang mengalami masalah badan kerap berpeluh, mereka perlu menukar pakaian lebih kerap berbanding individu normal. Ia bertujuan mengelak jangkitan bakteria merebak ke kawasan kulit menyebabkan badan berbau hanyir dan pilihlah pakaian serap peluh.

Tekanan

Apabila berada dalam keadaan tertekan dan gelisah individu lebih cenderung mengeluarkan peluh yang tidak terkawal walaupun ketika tidur. Peluh yang terhasil dalam jumlah tidak terkawal ini akan bertindak balas dengan bakteria di permukaan kulit. Atur tugasan dan emosi anda dengan baik.

Saiz badan

Individu yang mempunyai saiz badan besar lebih mudah mengalami masalah bau badan berbanding mereka yang normal. Ini kerana kelenjar peluh golongan berbadan besar lebih aktif sekaligus menghasilkan kuantiti peluh berganda walaupun dengan aktiviti yang minimum.

Cara hidup

Individu yang kuat merokok dan mengambil minuman keras lebih berisiko mengeluarkan bau badan kurang menyenangkan berbanding mereka yang mengamalkan gaya hidup sihat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan